Social Icons

Pages

Senin, 16 Desember 2013

Feri Karam Di Filipina 200 Masih Hilang



PASUKAN penyelamat Filipina hari ini bertungkus-lumus mencari 200 orang yang hilang selepas insiden pelanggaran sebuah feri dengan sebuah kapal kargo ketika kegelapan malam dan feri itu karam dengan pantas.

Sehingga waktu ini 26 sudah disahkan mati.

Feri St Thomas Aquinas ketika kejadian malam semalam, membawa 870 orang penumpang dan anak kapal. Laut pada ketika itu tenang berhampiran dengan Pelabuhan Cebu, bandar kedua terbesar di Filipina.

Pengawal pantai, kapal tentera laut dan juga nelayan tempatan di dalam bot kecil mengeluarkan lebih 600 orang yang terselamat masih hidup dari dalam laut.

Bagaimanapun, sehingga pagi tadi 215 orang masih hilang dan 26 mayat sudah ditemui.

Menurut pengawal pantai, jumlah kematian akan meningkat tidak lama lagi.

“Ia tidak mengambil masa yang lama, feri itu karam kira-kira 10 minit,” kata wakil Pengawal Pantai Luis Tuason.

“Kapten Kapal sempat melaksanakan prosedur kecemasan dan mengagihkan jaket keselamatan tetapi kerana ia terlalu pantas karam kita khuatir ada mangsa masih terperangkap di dalam feri,” katanya.

Pelanggaran berlaku kira-kira pukul 9 malam waktu tempatan di satu ruangan sempit seperti selat ke arah pelabuhan kira-kira dua hingga tiga kilometer dari daratan.

Kira-kira 56 orang bayi berada dalam kalangan penumpang feri tragik itu, dan masih tidak jelas berapa antara mereka terselamat.

Para penyelam Tentera Laut Filipina menggunakan bot laju bergerak sekitar kawasan kejadian mencari rakit kecemasan berwarna jingga tetapi kebanyakannya kosong.

Dua mayat ditemui di dalam rakit berkenaan.

Pada 2008, sebuah feri yang besar karam ketika taufan di Kepulauan Sibuyan, membunuh hampir 800 orang. – AFP


Tidak ada komentar:

Posting Komentar